Table of Contents
Menanti kelahiran anak kucing adalah satu penantian yang dinanti-nantikan oleh pecinta kucing, kelahiran anak kucing ini ibarat sama seperti kelahiran ahli keluarga baru bagi mereka. Namun terdapat juga anak kucing yang kematian ibunya sebaik sahaja lahir mahupun anak kucing baru adopt tanpa ibu. Oleh itu, dalam artikel ini kami kongsikan cara jaga anak kucing baru lahir tanpa ibu.
Secara semulajadinya, selepas melahirkan anak kucing, ibu kucing akan menguruskan anaknya sendiri hinggakan besar. Jika ketiadaan ibunya, maka anda mesti menggantikan ibunya dalam menguruskan anak kucing baru lahir tanpa ibu tadi sehinggalah umur 3 bulan. Terdapat beberapa perkara yang penting dan wajib dititik beratkan dalam menjaga anak kucing tanpa ibu ini. Antaranya adalah seperti di berikut:
Sediakan Tempat Yang Hangat
Perkara yang paling utama sekali adalah anda mesti menyediakan tempat tinggal anak kucing tadi ditempat yang hangat. Ini kerana anak kucing yang baru lahir mempunyai kulit dan bulu yang nipis. Keadaan yang sejuk akan mengakibatkan anak kucing mengalami kesejukan @ hypothermia.
Hypothermia ini boleh menyebabkan anak kucing mati disebabkan kegagalan sistem suhu badan yang masih lemah. Oleh itu, anda mesti membantu anak kucing untuk mendapatkan suhu yang hangat. Antara cara yang biasa digunakan adalah dengan menggunakan bag air suam diberikan kepada anak kucing sehingga berumur 3 minggu.
Berikan Susu Yang Cukup Dan Berkualiti
Seperti juga ibu kucing yang menyusu anak kucing, anda juga mesti memberikan susu kepada anak kucing anda. Cadangan tempoh waktu yang sesuai adalah setiap 3 jam sekali, ini kerana perut anak kucing ini kecil maka ia memerlukan susu yang cukup secara kerap.
Pastikan juga anda mendapatkan susu formula yang khas untuk anak kucing, elakkan daripada memberi susu mentah kambing atau lembu kerana boleh menyebabkan risiko cirit-birit atau sembelit. Anda boleh dapatkan susu formula ini di kedai vet atau secara dalam talian shopee.
Selain itu, pastikan anda memilih botol susu yang khas untuk anak kucing sesuai dengan umurnya. Sama juga seperti susu kucing ibu, anda mesti berikan susu ini dalam keadaan yang hangat @ suam. Susu yang sejuk dan terlalu panas akan menyebabkan anak kucing mati.
Cara Memberi Susu Kepada Anak Kucing Tanpa Ibu
- Umur 1 minggu : 3ml ke 4ml susu setiap 2 jam
- Umur 2 minggu : 5ml ke 6ml susu setiap 3 jam
- Umur 3 ke 4 minggu : 12ml ke 18ml setiap 4 jam
- Umur 4 minggu dan ke atas : 12ml ke 18ml setiap 8 jam
Sediakan Alas Tidur Yang Lembut
Seperti dinyatakan tadi, pastikan anda menyediakan tempat yang dingin untuk anak kucing anda. Jika di habitat asal bersama ibunya, ibu kucing akan menggunakan bulu dan lemaknya untuk memberikan rasa hangat pada anak kucing. Bagi anak kucing yang tiada ibu, anda perlu untuk menyediakan alas yang lembut dan tebal untuk kucing anda.
Dicadangkan agar sediakan bag air suam di kawasan tempat anak kucing anda, berikan sedikit ruang untuk kucing anda bergerak untuk memberi ruang anak kucing memilih tempat yang sesuai dengan suhunya. Yang paling penting juga disini adalah pastikan sebarang jenis alas kain yang digunakan berada dalam keadaan kering.
Bersihkan Bahan Buangan Setiap Hari
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa semulajadinya ibu kucing juga akan membersihkan sisa najis anak kucing dengan memakan sisa najis tersebut. Ibu kucing juga akan menjilat jika terdapat sebarang sisa najis yang melekat pada bulu anak kucing.
Anda juga perlu melakukan hal yang sama pada anak kucing anda, anak kucing tidak pandai untuk membersihkan sisa buangan hinggalah umurnya sebulan lebih. Rutin harian anda adalah membersihkan sisa najis di kawasan sekitar. Jika dibiarkan najis ini akan menyebabkan penyakit pada anak kucing anda. Seeloknya anda sediakan sahaja beberapa helai kain, salin dan basuh kain tadi secara selang seli.
Anda juga mesti membersihkan sisa kotoran pada bulu dan badan anak kucing anda, terutamanya di kawasan dubur. Dengan membantu anak kucing membersihkan badannya secara tidak langsung kucing ini akan diajar untuk menjilat dan membersihkan badannya sendiri.
Pengenalan Makanan Pejal
Anda boleh berikan makanan pejal pada kucing anda pada umur masuk 3 minggu, namun pastikan diberikan pada jumlah yang sedikit sahaja. Ini sebagai pengenalan kepada kucing anda untuk beralih daripada susu kepada makanan pejal.
Dengan memberikan secara berkala dalam jumlah yang sedikit juga membolehkan anda memerhati jika anak kucing anda alah terhadap suatu jenama makanan. Antara alahan yang sering berlaku adalah cirit-birit. Terdapat beberapa jenis makanan khas untuk anak kucing yang anda boleh dapatkan di pasaran.
Sediakan Tandas Pasir
Sama juga seperti anak kucing lain, pastikan anda mula untuk kenalkan tandas pasir kepada anak kucing anda. Kucing perlu untuk dilatih untuk menggunakan tandas pasir agar lebih bersih daripada membuang di kawasan luar. Memandangkan anak kucing ini tidak mempunyai ibunya untuk dijadikan sebagai contoh menggunakan tandas, pada umur masuk 4 minggu anda mesti meletakkan anak kucing anda setiap 4 ke 5 jam sehari di atas pasir tandas.
Akhir Kata
Menjaga anak kucing yang baru lahir tanpa ibu bukanlah suatu yang mudah, ini kerana anak kucing memerlukan perhatian yang khusus dari ibunya dalam masa sebulan pertama. Namun dengan ilmu dan kesabaran anda juga boleh membesarkan anak kucing yatim piatu dengan baik dan sihat. Diharap dengan sedikit info ini membantu anda.